Kenapa Zionisme muncul dalam fikrah Melayu? |
Hishamuddin Rais | Jan 22, 09 6:20pm |
Sewaktu saya menulis artikel ini, Kuala Terengganu telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Ketika saya menulis, warga Palestin di Gaza masih lagi digodam. Ketika saya menulis, masih ramai lagi warganegara kita ini kurang faham tentang apakah itu Zionisme. Zionisme ini satu pandangan politik. Zionisme bukan orang Yahudi tetapi pengasas Zionisme memang seorang Yahudi. Hari ini Zionisme bukan lagi milik eksklusif orang Yahudi. Zionisme yang wujud dan sedang menggodam rakyat Palestin ini majoritinya didukung hebat oleh individu dan kumpulan yang bukan Yahudi. Agama Yahudi ialah Judaism. Kitab suci agama ini adalah Torah. Rumah sembahyang penganut agama ini dipanggil synagogue. Kepala agama mereka dipanggil rabbai. Maklumat ini mungkin semua telah diketahui umum. Wajib juga diketahui bahawa ramai orang Yahudi sendiri yang menentang Zionisme. Di Isreal sendiri ada kumpulan penganut Judaisme yang menentang keras fahaman Zionisme. Mereka menolak masuknya fahaman Zionisme ini ke Palestin. Untuk kumpulan ini, mereka percaya bahawa fahaman atau ideologi Zionisme telah membawa porak-peranda dan kesengsaraan terhadap orang-orang Yahudi di seluruh dunia dan juga kesengsaraan yang tidak terhingga kepada warga Palestin. Kumpulan ini bernama Neturei Karta – mereka ini pada 2006 telah datang ke Iran atas jemputan Ahmadinejad, presiden Iran. Neturei Karta bersama rakyat dunia telah mengutuk negara yang dipanggil Israel. Neturei Karta adalah kumpulan Yahudi yang menyokong perjuangan adil rakyat Palestin. Mereka juga menentang Zionisme bermatian-matian. Perkembangan ini menjadi satu bukti bahawa Zionisme bukan ajaran Judaisme. Zionisme adalah falsafah yang menggunakan agama sebagai jubah untuk mengabui mata penganut agama Judaisme. Ramai pemikir dan intelektual Yahudi yang unggul dalam ilmu pengetahuan dan falsafah juga menentang fahaman Zionisme. Noam Chomsky seorang daripada mereka. Susuk intelektual ini adalah suara Yahudi yang paling lantang menentang keganasan Israel. Albert Einstein ahli sains yang menemui teori e=mc2 seorang lagi Yahudi yang anti-Zionisme. Di Israel sendiri, ramai orang Yahudi-Israel yang menentang fahaman tersebut. Mordechai Vanunu adalah contoh terbaik warga Isreal yang menentang Zionisme. Susuk ini telah membocorkan kepada dunia tentang senjata nuklear Israel yang kini tersimpan secara rashia di padang pasir Negev. Vanunu diperangkap dan diculik dari London untuk dibawa pulang ke Israel. Kerana membocorkan rashia 'bom nukelar' Israel dan memberi amaran kepada dunia tentang bahayanya Zionisme, Vanunu telah dipenjara selama 20 tahun sejak 1986. Selama 18 tahun Vanunu dikurung bersendirian. Apabila dibebaskan, Vanunu terus ditahan lagi. Hingga ke hari ini Vanunu tidak boleh keluar meninggalkan Israel. Pada ketika saya menulis ini, berpuluh-puluh anak muda Israel yang sedang dipenjara kerana tidak mahu mengangkat senjata membunuh warga Arab Palestin. Juga terdapat beratus-ratus anak muda dan warga Israel telah lari meninggalkan negara itu kerana menentang perang dan keganasan daulah Israel. Semua ini bukti bahawa bukan semua Yahudi itu Zionis. Bukan semua Yahudi menyokong Israel. Saya mengulangi ini kerana saya perhatikan terlalu ramai warga Malaysia menganggap konflik Palestin-Israel sebagai konflik agama, terutama di kalangan Melayu. Pandangan ini salah. Konflik di Palestin bukan konflik agama. Konflik ini konflik hak milik bumi tanah Palestin. Ia lahir kerana bumi Palestin telah dirampas oleh penganut fahaman Zionisme untuk mendirikan apa yang kini dipanggil Israel. Konflik di Gaza, Tebing Barat, Jenin, Hebron – umumnya konflik Arab-Israel – bukan konflik antara penganut Islam dengan penganut Yahudi. Wajib diketahui ada hampir 10 peratus warga Palestin beragama Kristian. Hanan Ashrawi perempuan yang pada 1980-an sering kita dengar namanya kerana memulakan rundingan damai Palestin-Israel ialah seorang Kristian. Edward Said intelektual bertaraf dunia itu seorang Kristian. George Habaash pemimpin Popular Front for Liberation of Palestine beragama Kristian. Kristian di Palestin adalah Kristian yang berasal-usul dari susur galur pengikut Isa kerana nabi itu dilahirkan di Nazareth, Palestin. Betul, agama dilihat memainkan peranan penting tetapi yang diperjuangkan ialah menuntut kembali bumi Palestin yang telah dirompak dan dirampas oleh penganut Zionisme. Tanah air Palestin yang telah dirampas ini melahirkan nasionalisme Palestin. Semangat nasionalisme inilah yang membolehkan rakyat Palestin terus berjuang bermati-matian menentang bala tentera yang terbesar di Timur Tengah. Kita wajib memahami dengan lebih mendalam tentang apa itu Zionisme. Fahaman ini percaya kepada satu bangsa – Yahudi. Hanya bangsa Yahudi sahaja yang terpilih. Yahudi sahaja yang ada hak keistemewaan di Israel. Bangsa-bangsa lain diangggap bangsa kelas kedua. Agama orang lain salah. Kitab suci agama mereka sahaja yang betul. Kitab suci agama lain dianggap menyeleweng. Hanya agama mereka sahaja yang dipilih oleh Yang Maha Esa. Justeru, di sini jelas bahawa Zionisme ialah satu fahaman rasis. Apa yang kita lihat di Gaza dan Tebing Barat hari ini adalah manifestasi daripada fahaman ini. Keganasan yang wujud di Palestin adalah hasil daripada falsafah rasis Zionisme. Merompak tanah-tanah warga Palestin, menghalau mereka keluar dari tanah air mereka juga manifestasi dari fahaman rasis ini. Kita dikatakan hanya dapat memberikan bantuan ubatan-ubatan, wang ringgit, makanan atau menerima warga Palestin datang ke negara kita untuk belajar atau menetap. Semua ini betul. Semua ini amat-amat dihargai. Semua ini adalah kerja baik yang wajib diteruskan. Tetapi saya menolak pandangan yang mengatakan bahawa kita tidak dapat membuat apa-apa lagi untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin. Pasti ada lebih daripada ini yang dapat kita sama-sama lakukan. Pada hari ini bukan susah untuk kita memahami bahawa pendukung unggul fahaman Zionisme dan Israel ialah Amerika Syarikat. Ini bukan kerana adanya Yahudi di New York atau California. Zionisme wujud kukuh di Amerika kerana kepentingan ekonomi Amerika pada ketika ini berjalan selari dengan kepentingan Zionisme dan Israel. Bukan sahaja Zionis Israel mendapat sokongan kuat dari Amerika, malah Kesatuan Eropah – Perancis, Jerman, Itali – semuanya menyokong Israel. Ini bukan kerana mereka cintakan Yahudi atau benci kepada Palestin – TIDAK. Mereka menyokong Israel kerana kepentingan ekonomi mereka. Ekonomilah yang menjadi asas kepada fahaman Zionisme ini. Pemodal–pemodal global melihat bahawa Zionisme dapat membantu mereka meneruskan dan mengembangkan modal mereka. Kaum pemodal antarabangsa melihat fahaman Zionisme ini sedang memberikan keuntungan melimpah ruah. Industri persenjataan dunia bergantung kepada perang. Dengan wujudnya perang atau konflik yang berkemungkinan membawa perang adalah cuaca dan suasana yang amat baik untuk pembuat dan peniaga senjata antarabangsa. Israel yang sedang memporakperandakan Timur Tengah adalah pemangkin perang. Lihat bagaimana Amerika menjual dan membekal senjata kepada Isreal - ia menakut-nakutkan negara-negara Arab. Suasana takut ini memberi peluang kepada Amerika untuk menjual senjata kepada Mesir, Jordan dan Arab Saudi. Negara-negara ini tidak ada bezanya dengan Zionis Israel. Mereka tidak berani secara terbuka menyatakan sokongan kepada Israel – takut kepada rakyat mereka sendiri. Tetapi perangai dan tingkah laku terhadap warga mereka tidak jauh berbeza daripada apa yang sedang dilakukan oleh Israel terhadap warga Palestin. Apabila kita telah memahami semua ini, saya rasa kita akan dapat melakuan lebih daripada apa yang sedang kita lakukan hari ini. Ada satu perkara yang dapat kita lakukan bersama yang pasti akan memberikan tamparan maut kepada Zionisme. Pekara ini ialah menentang sifat dan fahaman Zionisme di mana sahaja ia muncul dan bertapak. Zionisme pada ketika ini bukan lagi bergerak di Israel atau di Palestin sahaja. Zionisme telah menjadi fahaman yang meluas dan telah melintasi sempadan Israel. Jika sesiapa memiliki ciri-ciri fahaman rasis yang telah dinyatakan tadi bermakna mereka juga pendukung Zionisme. Zionisme ialah kezaliman. Di sini ingin saya nyatakan bahawa kita tidak perlu ke Palestin untuk menentang kezaliman. Apa yang perlu kita lakukan ialah menentang kezaliman dan kejahatan di mana sahaja ia berada, termasuk dalam negara kita sendiri. Zionisme tidak memiliki sempadan. Tetapi, saya agak kecewa apabila melihat orang Melayu berlumba-lumba bangun menentang Isreal yang zalim. Mereka bertempik marah apabila rumah diruntuhkan di Hebron. Tetapi mereka tidak bersuara apabila rumah diruntuhkan di Kampong Berembang atau di Plentong atau di Chubadak. Orang Melayu marah apabila masjid diroboh di Jenin tetapi orang Melayu tidak marah apabila melihat gereja Orang Asli diruntuhkan di Gua Musang. Orang Melayu keluar berdemonstrasi kerana tanah rakyat Palestin dirampas tetapi mereka tidak pula bersuara apabila tanah-tanah Orang Penan dirampas. Mereka tidak pula bersuara apabila tanah adat di Sarawak satu demi satu dirampas oleh pemodal antarabangsa. Hairan. Di mana silapnya fikrah Melayu ini? Kenapa bangsa Melayu memiliki nilai yang setengah jalan? Di mana akal fikrah mereka terputus? Kalau di Palestin mereka yakin rakyat di sana sedang dizalami, kenapa apabila orang Penan dizalimi hati mereka tidak tergerak untuk membantu? Apakah mereka tidak memahami bahawa kezaliman dan kejahatan itu tidak berbangsa dan tidak beragama? Kebaikan dan keadilan juga tidak berbangsa dan beragama. Orang Melayu tidak dapat menerima Ketuanan Yahudi tetapi bagaimana orang Melayu yang sama dapat pula menerima Ketuanan Melayu? Di mana songsangnya fikrah Melayu ini? Apakah mereka telah terputus nilai kemanusiaannya? Justeru sesudah membaca tulisan ini, marilah kita bersama-sama meneliti dan menilai kembali nilai Melayu kita. Apakah kita benar-benar faham tentang kezaliman dan keadilan. Atau kita hanya menjadi pak turut – ber-Gaza ke hulu ber-Gaza ke hilir. Orang bercakap hal Gaza, maka kita pun bercakap hal Gaza tanpa kita melihat ke dalam hati nurani kita sendiri. |
SELAMAT DATANG KE BLOG BULAN SABIT MERAH MALAYSIA UNIT 4 JITRA, KEDAH
Sunday, March 15, 2009
RENCANA
CERITA LA KONON
Akhirnya tinggal empat ekor Raja |
Hishamuddin Rais | Feb 18, 09 4:03pm |
Cerita Satu: Permaisuri sedang duduk di dalam kereta kuda yang bergerak pantas. Kaum tani dan orang kampung sedang membawa belantan, kapak dan sabit mengejar kereta kuda itu. Kuda disebat agar memecut lari sepantas mungkin. Kaum tani menghambat kuat. Akhirnya kuda keletihan, kaum tani datang mengepung. Cerita Dua: Bomoh berjanggut tebal telah mati ditembak di dalam perigi. Di luar rakyat makin berpusu-pusu. Salji semakin turun dengan lebat. Dalam bilik peraduan, Baginda dan Permaisuri sedang memasukkan intan berlian, dinar emas dan dirham perak ke dalam peti besi. Rakyat di luar sedang bersedia menunggu dalam kedinginan salju. Cerita Tiga: Apabila malam mulai gelap, Baginda dinaikkan ke atas kapal menuju Itali. Beberapa orang juak datang mengekor. Kaki-kaki bodek datang untuk mencium tangan. Tidak ramai yang hadir di pelabuhan. Apabila kapal bergerak, peluit pun tidak dibunyikan. Semuanya senyap. Cerita Empat: Telepon berwarna merah berdering. Pembantu presiden mengangkat. Presiden menggeleng-menggeleng kepala tidak mahu bercakap. Di hujung talian Raja Segala Raja sedar saat-saat akhirnya telah sampai. Di lapangan terbang, enjin pesawat Boeing 747 telah lama terpasang hanya menunggu untuk terbang. Cerita satu itu gambaran hari-hari akhir untuk Maria Antoinette permaisuri Perancis yang hingga ke hari ini masih diingati kerana ayat-ayat bodohnya. Apabila kaum tani Perancis kebuluran tanpa makanan dan bangun meminta roti, pemaisuri bangang ini telah berkata: "Kalau tidak ada roti, makanlah kuih". Setelah ditangkap kerana cuba hendak melarikan diri, si bangang ini telah dibicarakan. Keputusan rakyat - lehernya dipenggal dengan guillotine (alat pemenggal kepala) dalam Revolusi Perancis pada 1793. Sistem feudal beraja dihapus, Perancis bertukar republik. Cerita dua pula saat-saat apabila Rasputin bomoh kesayangan Czarina Rusia telah dibunuh. Rakyat Rusia telah bangun memberontak menentang sistem feudal Czar di negara itu. Keluarga Ramanov yang korup telah cuba lari and menyorok. Mereka ditawan dan akhirnya dihukum mati dalam Revolusi Bolshevik pada 17 Julai 1918. Sistem feudal dihapuskan, Rusia menjadi republik. Cerita ketiga, malam akhir Al-Malik FÄ�rÅ«q al-Awwal, raja Mesir yang dinaikkan ke atas kapal oleh presiden Gammal Abdel Naseer. Raja Faruq telah dihantar ke Rom oleh Revolusi Rakyat Mesir pada 1952. Sistem feudal dihapuskan, Mesir bertukar republik. Cerita keempat pula hari-hari akhir Shah Ahmad Reza Pahlavi Raja Segala Raja. Ahmad Reza telah cuba meminta bantuan dan pertolongan daripada presiden Jimmy Carter. Carter enggan bercakap dengan Ahmad Reza. Pembantu Carter mengatakan kepada Ahmad Reza bahawa presiden sedang berehat di kem David dan tidak mahu diganggu. Pada 11 Febuari 1979, Raja Segala Raja yang agung lagi gagah perkasa ini ditendang keluar oleh rakyat Iran. Sistem feudal dihapuskan, Iran pula menjadi sebuah republik. Inilah contoh-conth berakhirnya sistem feudal apabila Raja, Al-Malik, Shah, Maharaja dan Czar ditendang keluar oleh rakyat. Ada yang dibunuh, dipenggal leher dan ada juga yang dihalau meninggalkan negara. Sistem feudal adalah sistem ekonomi yang muncul di zaman peralihan tamadun manusia - zaman peralihan dari Zaman Liar ke Zaman Feudal. Sistem feudal ini muncul di Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Latin. Malah semua tamadun anak semua bangsa dalam dunia ini telah melalui sistem ini. Feudal ialah satu sistem ekonomi di mana yang kuat dijadikan raja dan disembah. Sistem feudal ini bergantung kuat kepada tanah dan hasil ekonomi pertanian. Susuk yang kuat dan mengakui dirinya sebagai raja boleh mengambil, merampas dan merompak tanah-tanah dan hasil tanamam titik peluh kaum tani. Di zaman ini punca pencarian rakyat hanya dengan bercucuk tanam. Gerombolan yang menamakan diri mereka raja ini telah merompak dan menyamun tanah dan hasil tanaman kaum tani sebagai cara untuk terus mengumpulkan harta kekayaan. Dengan harta kekayaan, mereka mendirikan kota-kota dan istana. Dengan harta kekayaan mereka membesarkan bala tentera, pahlawan dan panglima. Dengan bala tentera, mereka dilihat berkuasa. Untuk mengukuhkan kuasa, pada awalnya telah dimunculkan mitos dan cerita-cerita karut lagi marut untuk menakut-nakutkan rakyat. Ada cerita pedang azimat Raja Arthur, cerita rambut dibelah tujuh helai, cerita keris berasap, cerita geliga naga disimpan dalam istana dan pelbagai cerita karut untuk memastikan bahawa mereka ini dilihat oleh kaum tani memiliki daulat dan kuasa. Malah Raja Jepun dengan bodohnya mengakui bahawa dirinya sendiri adalah wakil Tuhan di muka bumi. Sistem feudal menghadapi persaingan apabila struktur agama muncul. Struktur agama yang menjadi kuasa baru mula mengancam kuasa feudal. Dengan licik sistem ekonomi feudal telah bersekongkol dengan kaum agama untuk terus menipu kaum tani. Ini berlaku beratus-ratus tahun di Eropah, Timur Tengah, China dan India. Dengan kerjasama ini - kaum feudal dan kaum agama - telah berkenduri-kendara sama-sama memperbodohkan dan menakut-nakukan kaum tani. Kaum tani dibodohkan dan dimiskinkan kerana tanah dan tanamam mereka dirampas. Kaum agama menakut-nakutkan kaum tani dengan api neraka. Kaum agama mengeluarkan fatwa menghalalkan sesiapa sahaja untuk dibunuh jika mereka ingkar terhadap kaum feudal. Penipuan ini berjalan beratus-ratus tahun hingga sampai ke Zaman Pencerahan. Di Zaman Pencerahan telah muncul idea dan pemikiran rasional yang berjejak di atas bumi. Ilmu pengetahuan yang dimunculkan di Zaman Pencerahan telah memberi kekuatan baru kepada pemikir dan ahli falsafah. Buku-buku dan kitab-kitab falsafah yang membawa idea rasional mula tersebar luas. Idea bahawa manusia ini sama di mata Yang Maha Esa telah mula sampai kepada kaum tani. Melalui pandangan rasional, kaum tani tidak lagi berasa gerun apabila melihat muka raja atau muka kaum agama. Mitos dan cerita karut-marut telah dikoyak-rabakkan oleh pemikiran rasional. Idea yang dibawa pada Zaman Pencerahan bertokok tambah. Ilmu pengetahuan berkembang. Ilmu sains, ilmu alam, ilmu bumi dan bintang maju dari tahun ke tahun. Ilmu pengetahuan ini membawa kemunculan satu kumpulan baru muncul – kaum Peniaga. Kaum peniaga membuktikan bahawa harta dan kekayaan bukan hanya datang dari hasil tanah dan bercucuk tanam tetapi daripada urusan perniagaan. Dengan ilmu sains dan pengetahun, kaum peniaga mula mendirikan kilang-kilang. Kilang-kilang ini memerlukan kaum buruh untuk membanting tulang. Kaum tani mula meninggalkan tanah untuk bekerja di kilang-kilang. Tetapi kaum peniaga juga tidak jauh ganasnya daripada kaum feudal dalam hal menindas dan memerah tenaga kaum buruh untuk mendapat harta kekayaan. Idea dan falsafah di Zaman Pencerahan terus berkembang. Ahli fikir dan ahli falsafah terus mengajukan idea-idea baru yang mendapat sambutan daripada kaum buruh dan kaum tani. Maka hasilnya berlakulah Revolusi Perancis pada 1789, berlaku Revolusi Amerika pada 1776. Berlakulah Revolusi Bolshevik pada 1917. Semua revolusi ini telah menumpaskan sistem feudal dan membawa mara tamadun anak semua bangsa ke era pencerahan. Pencerahan berjaya membuka mata kaum tani dan kaum buruh untuk melihat bahawa kekayan kaum feudal, kaum agama dan kaum peniaga adalah hasil daripada rompakan tenaga kerja mereka. Epilog: Satu malam di kota Rom, Faroq sedang berpoya-poya bermain daun terup. Faroq dikelililingi oleh gundek-gundek Kavita dan Kaur. Mereka sedang bersantai minum-minum champagne. Kavita dan Kaur gundek Faroq telah bertanya, apakah dia akan pulang ke Mesir untuk menjadi raja kembali. Ini jawapan Al-Malik FÄ�rÅ«q al-Awwal: "Akhirnya dalam dunia ini akan tinggal empat ekor raja sahaja. Raja Diamond, Raja Spade, Raja Kelawar dan Raja Lekuk." |
BERITA
Watan muncul semula esok
Aug 15, 08 7:25pm
Aug 15, 08 7:25pm
Akhbar tabloid politik berpengaruh Watan akan muncul semula esok selepas 13 tahun hilang dari pasaran.
Kali ini, ia diterbit sebagai tabloid politik mingguan dan dijual dengan harga RM2 senaskhah.
Penerbit dan juga pengarangnya Baha Azuwan berkata, edisi pertamanya dicetak sebanyak 50,000 naskhah untuk edaran seluruh negara.
mingguan watan newspaper 150808Berita muka depan edisi tersebut berjudul 'Medan bogel Anwar' - mengulas perkembangan pilihanraya kecil Permatang Pauh yang akan bermula esok antara calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah.
Watan pernah diharamkan penerbitannya sewaktu Operasi Lalang pada 1987 dan diterbit semula pada 1993.
Bagaimanapun, ia hanya bertahan selama dua tahun sebelum dihentikan penerbitannya pada 1995.
"Selepas 13 tahun, Watan muncul semula menemui orang ramai di seluruh negara," katanya kepada Malaysiakini.
Mengenai konsep baru tabloid mingguan itu, Baha berkata, ia akan memberi ruang kepada semua parti politik.
Sebagai contoh, tambahnya, edisi pertamanya memuatkan wawancara khas dengan Ketua Penerangan PKR, Tian Chua.
Ia juga menyiarkan wawancara khas dengan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Akhbar setebal 32 muka surat itu, katanya, akan menemui pembaca setiap Jumaat.
"Tumpuan utamanya pada masa ini ialah pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh dan mesyuarat Umno yang sedang berlangsung sekarang," katanya.
Baha juga mengucapkan terima kasih Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar kerana meluluskan permit untuk akhbar itu beroperasi.
Kali ini, ia diterbit sebagai tabloid politik mingguan dan dijual dengan harga RM2 senaskhah.
Penerbit dan juga pengarangnya Baha Azuwan berkata, edisi pertamanya dicetak sebanyak 50,000 naskhah untuk edaran seluruh negara.
mingguan watan newspaper 150808Berita muka depan edisi tersebut berjudul 'Medan bogel Anwar' - mengulas perkembangan pilihanraya kecil Permatang Pauh yang akan bermula esok antara calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah.
Watan pernah diharamkan penerbitannya sewaktu Operasi Lalang pada 1987 dan diterbit semula pada 1993.
Bagaimanapun, ia hanya bertahan selama dua tahun sebelum dihentikan penerbitannya pada 1995.
"Selepas 13 tahun, Watan muncul semula menemui orang ramai di seluruh negara," katanya kepada Malaysiakini.
Mengenai konsep baru tabloid mingguan itu, Baha berkata, ia akan memberi ruang kepada semua parti politik.
Sebagai contoh, tambahnya, edisi pertamanya memuatkan wawancara khas dengan Ketua Penerangan PKR, Tian Chua.
Ia juga menyiarkan wawancara khas dengan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Akhbar setebal 32 muka surat itu, katanya, akan menemui pembaca setiap Jumaat.
"Tumpuan utamanya pada masa ini ialah pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh dan mesyuarat Umno yang sedang berlangsung sekarang," katanya.
Baha juga mengucapkan terima kasih Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar kerana meluluskan permit untuk akhbar itu beroperasi.
Subscribe to:
Posts (Atom)