KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, diberi amaran selepas Lembaga Disiplin Umno mendapati beliau bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno kerana kesalahan rasuah dan politik wang yang dilakukan oleh ejennya.
Ini bermakna Khairy masih layak bertanding pada pemilihan bagi jawatan Ketua Pemuda Umno yang dijadualkan pada 25 Mac ini.
Seorang lagi calon Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, yang disiasat bagi aduan rasuah atau sogokan politik, pula didapati tidak bersalah.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, pada sidang media di sini, petang ini.
Menjawab soalan, beliau berkata Mohd Ali Rustam dan Khairy dikenakan hukuman yang berbeza oleh Lembaga Disiplin kerana perlakuan kesalahan dilakukan mereka adalah berbeza.
“Mereka tidak ada kes yang sama. Apa yang dilakukan oleh ejen mereka juga berbeza. Contohnya, antara rasuah makan-makan dengan rasuah wang, sudah pasti kesalahan dan hukuman itu juga berbeza walaupun kes itu dalam Perkara Tata Etika yang sama," katanya.
No comments:
Post a Comment